CAMPERVAN DI NORTH ISLAND, NEW ZEALAND (BAHAGIAN 1) -PERSIAPAN

by - 6:27 PM

Hai Backpackers !

Okay kali ini kami bercampervan di New Zealand pada 31 Ogos 2017 - 9 September 2017. Beraya di perantauan. Haha. Sebab apa naik campervan? Biar ada kelainan sikit. Selalu kami berbackpack, pikul backpack, naik public transport untuk ke sana kesini, paling mewah pun sewa motor. Cuma kalau nak naik motor di New Zealand ni memang tak mampu, sejuk sangat.

Campervan ni kira adik sikit dari Motorhome. Kalau ikut dari saiz, paling besar adalah Recreational Vehicle (RV), kemudian Motorhome, selepas itu Campervan dan kecil sekali Sleepervan. Sebab apa pilihan utama kami adalah Campervan dan bukannya RV, Motorhome atau Sleepervan mahupun kereta? Boleh klik link di sini.

Jadi sebagai persediaan, kena tahu dan buat kajian sikit berkenaan New Zealand. Apa yang anda perlu tahu tentang New Zealand?

  1. Mempunyai dua (2) pulau utama iaitu North Island dan South Island.
    • Tarikan utama di North Island ialah bandar Auckland, Cathedral Cove (Lokasi penggambaran Narnia: Prince Caspian), kawasan geothermal, Hobbiton (Lokasi penggambaran The Hobbit & LOTR), Tongariro National Park (Lokasi penggambaran LOTR, iaitu di mana terletaknya daerah Mordor) dan sebagainya.
    • Tarikan utama di South Island pula ialah Queenstown, Christchurch, Abel Tasman National Park, Milford Sound, Fox Glacier dan sebagainya.
  2. New Zealand mempunyai empat (4) musim, iaitu musim panas, luruh, sejuk dan bunga. Bulan paling panas iaitu di bulan Disember, Januari dan Februari dengan suhu lebih kurang 20-30 Celcius. Manakala suhu paling sejuk berada di bulan Jun, Julai dan Ogos dengan suhu lebih kurang 10-20 Celcius. Bagi sesetengah kawasan di South Island dan juga di Tongariro National Park di North Island, suhu boleh mencapai negatif sehingga 10 Celcius. Jadi kena buat persediaan rapi.
  3. Cuaca di New Zealand walaupun sejuk, sinaran matahari memang direct kena pada kulit, jadi disarankan untuk pakai sunblock SPF30 ke atas. Kulit pun akan cepat kering, jadi bawa lotion skin repair juga.
  4. Waktu di New Zealand cepat 4 jam dari Malaysia. Matahari terbit lebih kurang pukul 6.30pagi dan tenggelam pada jam 6.00petang.
  5. Bahasa utama yang digunakan ialah Bahasa Inggeris dan Maori.
  6. Menggunakan matawang New Zealand Dollar sebagai matawang utama. Disarankan tukar siap-siap di Malaysia sebab money changer di sini kebanyakan di bandar-bandar utama sahaja.
  7. Rakyat Malaysia tidak perlukan Visa untuk ke New Zealand. Akan diberikan borang berkenaan barang yang dibawa sewaktu di dalam flight untuk diisi. Tick mana yang berkenaan, kalau tak faham pun boleh tick saja.
  8. Nombor kecemasan di New Zealand adalah 111. Simpan nombor ini. Kalau takde kredit pun boleh call.
  9. New Zealand amat menjaga tentang kemasukan barang makanan ke negara mereka, jadi setiap makanan yang ingin dibawa ke sana perlu di declare, lebih elok letak di dalam satu beg dan buat satu senarai berkenaan apa yang dibawa ke sana. Gagal declare boleh menyebabkan kita didenda sehingga NZD 400. Untuk info lebih lanjut boleh layari website MPI New Zealand.
  10. Kedai makanan halal agak kurang, jadi disarankan bawa makanan dari Malaysia.
  11. Lesen memandu Malaysia yang terbaru boleh digunakan di sana, jadi tiada masalah. Pemanduan di sana juga sama seperti di Malaysia iaitu Left Hand Side. Kelajuan maksimum di jalanraya di New Zealand adalah 100km/j dan ada juga yang kurang, jadi kena perhati betul-betul untuk mengelakkan kita disaman.
Tiket Kapal Terbang
Kita teruskan dengan perjalanan kami menuju ke Aotearoa yang bermaksud New Zealand dalam bahasa Maori. Pertama, apa yang perlu kita buat? Yes, dapatkan tiket murah. Terima kasih Airasia X kerana offer tiket murah kepada kami, iaitu dari KLIA ke Auckland return dapat harga RM 1288 termasuk insurans, dan makanan.

Pada pendapat saya, insurans elok kita ambil lah sebab kalau delay, accident atau apa-apa malapetaka dapatlah pampasan. Makanan pula kalau pre-book dapat murah sikit, RM 18 untuk satu makanan termasuk air. Perjalanan mengambil masa selama 12 jam, jadi saya sarankan, book makanan. Mana mampu tahan mata dan perut tengok orang sebelah kiri kanan makan, nak nak pula Nasi Lemak Pak Naser. Fuhh !

Okay bila dah dapat tiket flight, boleh lah mula mencari pakaian yang sesuai untuk berada di sana. Kalau pergi pada musim panas oklah mungkin boleh tahan dengan pakai pakaian biasa, tapi kalau pergi pada musim sejuk kena cari pakaian yang tebal. Untuk tips mencari pakaian sesuai boleh klik link di sini.

Kenderaan
Kemudian, buat research berkenaan pengangkutan untuk mengembara sekitar New Zealand. Antara pengangkutan yang terdapat di New Zealand adalah hitchhiking (Menumpang kereta orang), sewa kenderaan (Kereta, campervan dan motorhome), kapal terbang dan juga bas. Paling jimat mestilah hitchhiking kan, tapi risiko tinggi, jadi kalau berani boleh consider cara ini dan kalau tak berani boleh teruskan dengan cara seterusnya iaitu dengan menaiki kapal terbang via Air Nelson, Jetstar dan Air NZ Link. Cara paling cepat tapi tak feel lah kan sebab tujuan utama berada di New Zealand ni untuk road trip. Okay move on !

Kita mula dengan cara yang praktikal, pertama dengan menaiki bas Hop on Hop off. Ada beberapa syarikat yang menawarkan cara ini iaitu Stray Bus, Intercity, Mana Bus, dan Naked Bus. Konsep yang sama iaitu Hop on Hop off, contoh anda naik bas Intercity dari Auckland ke Taupo, boleh naik bas dan turun di Taupo, kemudian kalau nak ke Wellington pula, boleh cari mana-mana bas Intercity dan naik semula untuk ke Wellington. Harga berlainan bagi setiap company. Jadi ini memang backpackers kental, kalau anda larat dan tak bawa banyak barang sesuai gunakan cara ini.

Cara kedua, dengan menaiki kenderaan sewa. Ada beberapa syarikat yang menawarkan kereta sewa seperti Thrifty, Ace Rental, Apex Rental, Hertz, Omega, Avis, Europcar dan Budget. Dan ada beberapa syarikat yang menawarkan sewa campervan seperti Maui, Jucy, Britz, Apollo, Wendekreisen, Happy Campers, Motorhome Republic, Tui Campers, Mighty, Freedom Campers, Cheapa Campa, Travellers Autobarn, Budget Campers, StarRV, Lucky Camper dan Hippie Camper.

Sebelum itu, mari kita belajar dulu berkenaan terms yang akan digunapakai dalam campervan dan car rental ini.
  1. Insurans : Ini semua tahu, untuk bawa kereta perlu ada insurans kereta. Di New Zealand, insurans tidak diwajibkan, tetapi sediakan payung sebelum hujan orang kata. Setiap syarikat sewa akan berikan beberapa pilihan insurans, boleh pilih mana yang berkenaan.
  2. Excess : Kalau dia tulis excess NZD 2000, maknanya NZD 2000 kerosakan pertama kita yang tanggung. Contohnya, kita accident, van atau kereta perlukan repair sebanyak NZD 2500, maknanya, untuk NZD 2000 permulaan kita kena tanggung, selebihnya iaitu NZD 500 syarikat yang tanggung. Rugi kan? Baca point seterusnya.
  3. Excess reduction : Kalau kita nak kurangkan excess, boleh pilih beberapa plan yang ditawarkan, contohnya NZD 17.50 sehari untuk kurangkan excess dari NZD 2000 kepada NZD 500. Ada juga plan zero excess, iaitu NZD 29 sehari untuk jadikan zero excess. Dengan plan zero excess, kita tak perlu tanggung apa-apa kalau ada perkara buruk berlaku. Tapi kekurangannya, sewa jadi mahal. Setiap syarikat akan menawarkan lain-lain excess reduction plan jadi buat kajian betul-betul.
  4. Bond : Ini pula cagaran waktu kita nak pickup van atau kereta, contoh kalau bond NZD 1250, jadi waktu nak pickup van, kena bagi credit card, dan syarikat akan freeze kan dulu NZD 1250 dalam akaun kita. Hanya kad kredit yang diterima, wang tunai tidak boleh. Saya masih tak jumpa syarikat sewa campervan yang tak perlukan bond, cuma untuk sewa kereta ada syarikat Apex Rentals yang tak perlukan bond. Bond diperlukan jika waktu kita pulangkan kenderaan ada saman ke, accident ke, barang dalam van hilang ke, jadi dari situlah duit akan ditolak. Ia berkait rapat dengan Excess.
  5. Relocation : Pernah terfikir tak bagaimana syarikat sewa ni nak imbangkan bilangan kenderaan di setiap cawangan mereka? Sebab kadang-kadang ada traveler yang sewa satu hala. Contohnya, kita sewa satu hala bermula di Auckland dan berakhir di Wellington. Jadi kalau majoriti traveler sewa satu hala, pasti akan ada lambakan kenderaan di cawangan tersebut, jadi inilah cara penyelesaian mereka. Sesetengah syarikat sewa kereta atau campervan akan mengadakan promosi relocation. Kita akan tolong bawa semula kenderaan ni ke tempat yang ditetapkan. Kelebihannya adalah, kadang-kadang mereka akan bagi sewa secara percuma, kita hanya tanggung minyak saja, ada juga separuh harga, kena pandai cari. Kekurangannya pula, destinasi, tempoh masa semua ditetapkan oleh syarikat, Kalau sesuai dengan plan kita barulah boleh join promosi ni.
  6. Self-contained Certification : Ada beberapa kawasan yang percuma untuk kita overnight menggunakan campervan, tapi ada syarat ! Syaratnya adalah campervan anda mestilah certified self-contained. Kena tanya betul-betul dengan syarikat tentang ni. Syarat untuk dapat sijil self-contained ni, campervan mesti dilengkapi dengan tangki air bersih (Fresh water supply), tangki air kotor (Grey water), toilet (paling kurang Porta Potti) dan sinki. Jadi kalau tiada certification ni, kena tidur di Holiday Park atau mana-mana campsite. Pada saya, kalau anda nak merasa Freedom Camping yang memang banyak di New Zealand ni, perlu ambil yang self-contained. Kalau campervan bukan self-contained tapi cuba juga freedom camping, kalau ditangkap akan disaman NZD250. Stiker self-contained ditampal pada bahagian belakang ada depan campervan, stiker berwarna biru.

Okay jadi bila dah faham bolehlah buat kajian nak pilih campervan atau kereta dari syarikat yang mana satu. Setelah hampir seminggu research berkenaan campervan, kami ambil keputusan untuk book dari syarikat Travellers Autobarn.

Syarikat ini menawarkan Kuga Campervan (Toyota HiAce) 3 Berth, memandangkan kami pergi bertiga, dengan harga NZD 29 sehari. Murah kan? Tunggu dulu, ada lagi tambahan-tambahan yang belum dikira. 😉 Kemudian, kena ambil insurans, ada beberapa pilihan tapi kami pilih Midway Protection Plus iaitu NZD 17.50 sehari dengan bond NZD 1250 dan excess NZD 500. Ini yang wajib. Kemudian ada beberapa extras yang optional seperti Living Equipment, Heater, GPS, Snow Chain, LPG Prepaid Gas Option dan sebagainya boleh ditambah dengan kos tambahan. Pada hemat kami, yang perlu ada adalah Living Equipment (Alatan perkakas memasak, sleeping bag, selimut, bantal dan sebagainya), Heater (Musim sejuk) dan LPG Prepaid Gas Option. Yang lain-lain tu boleh dipertimbangkan mengikut keperluan. GPS boleh digantikan dengan Google Maps (Download offline map di Google Maps). Snow chain tidak perlu kerana di jalanraya North Island tiada salji.

Jumlah keseluruhan sewa campervan termasuk beberapa extras adalah NZD 513.59. Ready kad kredit waktu pickup dan selesai bab kereta sewa.

Kenderaan, dapur, tandas, dan tempat rehat kami bertiga selama 8 hari pengembaraan
Makanan
Selesai bahagian kereta, sekarang bahagian makanan pula. Seperti yang diketahui ramai, New Zealand memang tegas bab kemasukan makanan ni, dan makanan yang dipacking secara komersial saja yang dibenarkan, dan itupun ada yang tak lepas masuk. Jadi kami ambil jalan selamat, beli Brahim's, tin sardin, Maggie, Indomie, Spaghetti, teh uncang dan beras. Jumlah RM 241.35.

Ubat-Ubatan
Ubat-ubatan seperti Panadol, ubat selesema, lotion, sunblock, ubat sakit perut, Vaseline, plaster dan lain-lain yang berkenaan jangan lupa bawa. Ubat-ubatan juga perlu di declare. Kalau leceh boleh beli di New Zealand. Tapi kami nak jimat, semua kami bawa dari Malaysia.

Simkad Travel
Bab ini pun lama kami buat research, sebab pakej internet di New Zealand memang mahal. Ada beberapa telco yang ada di NZ seperti Spark, 2Degrees, Vodafone dan Skinny. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Boleh buat research bahagian ni sebab akan ada promosi setiap masa. Tapi berdasarkan apa yang kami lihat sepanjang berada di NZ, coverage Spark dan Vodafone yang sentiasa ada di setiap daerah. Jadi mungkin ini boleh membantu anda memilih yang terbaik. Walaupun begitu, kami ambil simkad Hello1010 yang dijual di Malaysia kerana pada saya pakej ini yang paling berbaloi setakat yang saya jumpa. Spesifikasi simkad :

  • Kuota 4GB sah untuk tempoh 15 hari.
  • Kalau habis kuota kelajuan akan berkurangan.
  • Boleh buat hotspot.
  • Menggunakan pencawang Spark di New Zealand jadi agak reliable.
  • Harga RM 149.06 selepas diskaun (Daftar untuk dapatkan diskaun).
  • Boleh digunakan di Australia dan New Zealand.
Anda boleh lakukan kajian sendiri dan bandingkan dengan simkad ini. Dan selepas 10 hari pengembaraan, memang betul simkad ni pada saya yang terbaik. Recommended !

Pre-Book Aktiviti
Ada beberapa aktiviti-aktiviti ataupun tarikan berbayar yang kami pre-book sebelum berlepas ke NZ bagi mengelakkan tiket habis disaat akhir dan juga bagi mendapatkan harga yang murah dari harga kaunter. Aktiviti yang kami pre-book ialah :
  1. Hobbiton Movie Tour = NZD 79 seorang (Beli di website Hobbiton Movie Set Tours)
  2. Skyline Gondola & 4 Luge = NZD 35 seorang (Beli di website Bookme)
Website bookme.co.nz memang berbaloi kalau nak mencari deals yang menarik dan murah dari harga kaunter. Selain itu ada website GrabOne juga lebih kurang dengan Bookme. Jangan lupa layari website-website ini sebelum beli tiket di kaunter ! Tapi disarankan agar plan itinerari terlebih dahulu supaya dapat tarikh yang tetap sebelum beli tiket, sebab kebanyakan tiket merupakan tiket yang bertarikh, bukan open ticket.

Money Changer
Selepas selesai semua itinerari dan persiapan, bolehlah tukar duit. Kami tukar duit RM ke NZD 800 di Lucky Changer MidValley Kuala Lumpur dengan rate 1 NZD = RM 3.14 berjumlah RM 2512. Nak tahu tips pertukaran wang asing sebelum melancong? Klik link ini.

Selesai semua persiapan? Jom terbang ! Bersambung di Bahagian 2.

You May Also Like

0 comments